
PELABUHAN KLANG, 13 Mac – Dua bot fiber bersama enam warga asing ditahan di perairan Kapar, semalam
- Satu vesel ditemui mengandungi empat pokok yang didakwa untuk ditanam di perairan Sungai Janggut.
- Satu vesel tiada nombor pendaftaran sah; disiasat bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
- Kes vesel lain disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti selain menangkap ikan.
- Enam warga asing tanpa dokumen disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63; orang ramai diminta melapor jenayah di laut.
Dalam kejadian sekitar jam 11.00 pagi itu, kedua-dua vesel berkenaan dikesan berada pada kedudukan 0.8 batu nautika barat Sungai Tambak Jawa Kecil oleh kapal Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pemeriksaan awal mendapati bot-bot tersebut dikendalikan oleh dua tekong warga tempatan berusia 47 dan 62 tahun.
“Pemeriksaan lanjut ke atas salah sebuah vesel menemukan empat batang pokok yang didakwa tekong tersebut untuk ditanam di kawasan perairan Sungai Janggut. Manakala, sebuah lagi vesel didapati tidak mempunyai nombor pendaftaran sah,” jelas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Turut ditahan, tujuh warga asing berusia antara 22 hingga 45 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pekerja. Enam daripada mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, hanya seorang sahaja mempunyai dokumen lengkap.
Kesemua individu dan vesel telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut. Kes bagi vesel pertama disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti selain menangkap ikan, manakala vesel kedua disiasat bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana tidak mempunyai dokumen serta nombor pendaftaran.
Enam warga asing yang tidak memiliki dokumen sah pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Muhaimin juga menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di perairan negara. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652.