BANGI, 22 Mac- Aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di tempat kerja perlu dipertingkat dalam kalangan pekerja muda khususnya mereka yang terlibat dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekonomi gig.
Jelas Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang baharu, Manivanan Gowin, ia lebih mudah dilaksana menerusi kerjasama NIOSH dengan institusi pengajian berkaitan.
"Usaha mendidik pekerja gig mengenai KKP adalah mencabar kerana masih ramai yang bekerja sendiri atau melakukan pekerjaan secara sambilan.
"Bagaimanapun, kita yakin NIOSH mampu mendekati pekerja gig dan juga graduan TVET melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan MADANI," katanya menerusi kenyataan selepas selepas menghadiri taklimat yang diberikan oleh Pengarah Eksekutif NIOSH, Tuan Haji Ayop Salleh di ibu pejabat NIOSH.
Tambahnya, Manivanan akan menggunakan pengalaman dan hubungan baik beliau dengan pelbagai pihak bagi membantu NIOSH meningkatkan kesedaran mengenai KKP dalam kalangan pekerja gig dan juga graduan TVET.
Dalam pada itu, Manivanan berkata inisiatif khusus untuk pekerja gig dan graduan TVET itu penting bagi membantu kerajaan mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021–2025 (OSHMP25).
"Di bawah OSHMP25, kerajaan menyasarkan pengurangan kadar kematian pekerjaan kepada 2.93 bagi setiap 100,000 pekerja, mengurangkan kadar kemalangan pekerjaan kepada 2.13/1,000 pekerja, serta meningkatkan kesedaran membuat diagnosis serta melapor penyakit dan keracunan pekerjaan sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2025," kata Manivanan.
Sementara itu, Manivanan berkata graduan TVET mempunyai potensi besar untuk memegang jawatan penting dalam organisasi.
Dilaporkan graduan TVET memiliki peluang pekerjaan yang cerah dalam industri, termasuk kebolehpasaran yang melebihi 92 peratus.