
MELAKA, 25 Februari– Gred Purata Negeri (GPN) Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) di Melaka mencatatkan peningkatan kepada 1.66 berbanding 1.68 pada 2024.
- Peningkatan Gred Purata Negeri UPKK Melaka kepada 1.66, menunjukkan prestasi keseluruhan lebih baik.
- Bilangan calon peroleh semua A menurun kepada 1,340 orang (15.61%), menandakan cabaran pencapaian kecemerlangan mutlak.
- Daerah Alor Gajah dan beberapa SRA terpilih kekal sebagai pencapaian terbaik mengikut GPD dan GPS.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah berkata, beliau yakin kecemerlangan itu dapat terus dipertingkatkan dalam usaha memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak di negeri itu.
Bagaimanapun katanya, bilangan calon memperoleh keputusan ‘A’ dalam semua mata pelajaran, turun kepada 1,340 orang (15.61%), berbanding 1,474 orang (18.29%) pada 2024.
“Seterusnya daerah terbaik bagi UPKK 2025 berdasarkan Gred Purata Daerah (GPD) adalah daerah Alor Gajah dengan GPD 1.62. Seterusnya sekolah terbaik UPKK negeri Melaka berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) adalah kategori sekolah gred A, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jaim Jelatang Alor Gajah.
“Bagi kategori sekolah gred B, SRA Jaim Batang 3 Timur Melaka seterusnya kategori sekolah gred C, SRA Jaim Sungai Buloh Alor Gajah dan kategori Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sekolah rendah integrasi Islam An Najah negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan Keputusan Peperiksaan UPKK Negeri Melaka Tahun 2025 di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah.
Jelasnya, SRA JAIM Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob mendahului sekolah dengan pencapaian peratus 9A tertinggi bagi kategori Gred A.
Ini diikuti SRA JAIM Pernu (kategori Gred B) dan Sekolah Rendah Integrasi Islam An-Najah (kategori Gred C).
Seramai 45 murid yang memperolehi keputusan cemerlang peringkat negeri.