
KOTA BHARU, 18 Januari – Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan kerajaan terus memberi kelegaan kepada rakyat yang memerlukan, termasuk golongan bujang yang masih belum mempunyai pendapatan stabil.
- Golongan bujang menyambut baik inisiatif SARA sebagai bantuan keperluan asas dan makanan.
- Penerima meluahkan rasa syukur dan menghargai keprihatinan kerajaan terhadap belia.
- Bantuan dianggap membantu meringankan perbelanjaan harian dan keperluan diri.
- Bagi kategori bujang, penerima menerima RM50 sebulan sehingga RM600 setahun.
Tinjauan RTM di sini mendapati kebanyakan penerima menyambut baik bantuan berkenaan dan meluahkan rasa syukur, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan belia dan golongan bujang.
Fatihah Abd Razak berpendapat bantuan berkenaan amat membantu dalam memenuhi keperluan asas, terutama perbelanjaan makanan dan penjagaan peribadi.
“Bagi sesetengah orang mungkin jumlahnya sedikit, tetapi bagi kami yang kurang mampu, bantuan ini sangat membantu untuk membeli barangan tambahan bagi golongan bujang,” katanya.
Seorang lagi penerima, Yaashini Tharuman, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan membantu golongan bujang.
“Terima kasih kerajaan kerana membantu golongan belia seperti kami membeli barangan dapur dan keperluan diri,” katanya.
Nurul Nadia Azmi pula berkata bantuan yang diterima sedikit sebanyak membantu menampung keperluan makanan harian.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana menyantuni golongan belia seperti kami. Bantuan ini membolehkan kami membeli barangan makanan untuk keperluan hidup,” katanya.
Sementara itu, Hudaani Farahiah Rozi Hanafi menyifatkan bantuan SARA memudahkan urusan perbelanjaan hariannya.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan SARA ini banyak membantu,” katanya.
Bagi kategori bujang, penerima menerima RM50 sebulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM600 setahun. Bantuan berkenaan telah dikreditkan bermula 16 Januari lalu dan memanfaatkan seramai 3.1 juta penerima di seluruh negara.