SUNGAI PETANI, 30 Julai - Setiap golongan pelajar harus diberi pendedahan awal mengenai hala tuju dan peluang kerjaya berdasarkan minat serta keupayaan masing-masing, kata Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar.
Sivakumar berkata ini sekali gus dapat menyumbang kepada pembangunan dan mengurangkan kadar pengangguran negara.
Oleh itu, katanya kerajaan telah menyediakan platform Program YES! Rock The School bagi memberi pendedahan awal berkaitan sektor pekejaan dan laluan kerjaya dalam kalangan pelajar.
"Pendedahan dan galakkan perlu diberikan kepada golongan belia termasuk mereka yang masih di bangku sekolah sebagai panduan dan persiapan sebelum ke menara gading.
"Kalau tunggu sampai anak masuk ke menara gading (universiti) baru nak menentukan karier (kerjaya) mereka, mungkin ia sudah terlambat, jadi mereka memilih kursus yang tidak ada permintaan di luar.
"Cyber security' dan sebagainya mempunyai banyak (peluang) -- saya dimaklumkan bahawa hari ini ada 10,000 pekerjaan dalam bidang cyber security," katanya kepada media selepas hadir ke Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Aimst University pada Ahad.
(Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di AIMST University Bedong, Kedah)
Tambahnya, kebanyakan pelajar hanya terdedah dengan kerjaya seperti doktor, peguam dan akauntan sedangkan terdapat lagi bidang lain yang mempunyai kebolehpasaran kerja tinggi seperti dalam bidang digital dan siber sekuriti.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut menyertai sesi forum tersebut.
Seramai 600 pelajar sekolah menengah dari 20 sekolah di Kedah menyertai program edisi Mega Kedah yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Program yang dilaksanakan buat julung kalinya itu menunjukkan komitmen kerajaan kini ingin membantu belia mengenal pasti potensi diri dan pilihan kerjaya untuk masa depan mereka.
Untuk rekod, Program YES! Rock The School anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Kementerian Pendidikan mula dilaksanakan pada penghujung 2021.
Seramai 2, 000 pelajar dari 15 sekolah menengah di negara ini telah menerima manfaat menerusi program itu.