KUALA LUMPUR, 11 Februari - Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 sempena perayaan Thaipusam di negeri Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan komuniti India di negara itu.
Katanya, Kementerian Digital memainkan peranan penting dalam menyokong komuniti India, sejajar dengan komitmen Kerajaan di bawah konsep Malaysia MADANI.
"Tahun ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkukuhkan sokongan kepada masyarakat India, khususnya sempena perayaan Thaipusam. Antara langkah yang diambil termasuk pemasangan dua skrin digital gergasi di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Pulau Pinang, bagi memudahkan penganut mengikuti perjalanan sambutan dengan lebih jelas.
"Selain itu, bantuan turut diberikan kepada kuil, persatuan India, dan sekolah Tamil sepanjang tahun 2024 sebagai usaha memperkukuhkan pembangunan komuniti," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) India serta belia dalam ekonomi digital.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, sokongan disediakan bagi membantu peniaga kecil memanfaatkan platform digital untuk mengembangkan perniagaan mereka.
"Selain itu, bagi memastikan kelancaran sambutan Thaipusam, air minuman dan makanan percuma turut disediakan kepada para penganut di Batu Caves, menjadikan perayaan lebih selesa dan bermakna," katanya.