SHAH ALAM, 22 September- Jabatan Mufti Negeri Selangor akan bersidang pada 30 September ini bagi memutuskan persoalan berhubung Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di negeri tersebut.
Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum keputusan dibuat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membentangkan laporan itu dalam mesyuarat MAIS pada 24 September ini.
Pihaknya mengambil serius berhubung perkara itu dan telah melaksanakan tindakan bersepadu bersama-sama JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ini termasuk memastikan sekolah Islam yang terlibat ditutup dan dibatalkan pendaftarannya.
"Ia bagi memastikan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dapat membuat keputusan segera bagi hasil kajian dan penelitian terhadap GISBH,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata MAIS menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta mengambil tindakan serius berhubung isu yang dikaitkan dengan GISBH dan rangkaiannya itu.
Semalam, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya.
Sehubungan itu, baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah diarah ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiaya.
BERITA BERKAITAN:
- Premis milik GISBH di lima daerah di Johor diserbu- Exco
- JAIPs dan PDRM rampas 63 barangan berkaitan GISBH dalam dua siri serbuan di Perlis
- Hasil rampasan jadi bahan bukti sokongan, tentukan status akidah pengikut GISBH
- GISBH: Enam kitab berkaitan Al-Arqam dirampas JHEAIPP
- Kedai GISBH di Terengganu banyak ditutup