fb fb fb fb fb

GISBH: Eksploitasi kerja paksa dan amang seksual, tiga individu didakwa

Ketiga-tiga tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi - FOTO RTM

KOTA TINGGI, 13 Oktober- Tiga individu yang ada kaitan dengan Global Ikhwan Services dan Bussines Holdings (GISBH) hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor.

Pada prosiding pertama, dua individu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memperdagang manusia bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman sejak Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Mahmad Hamal Tukiman, 57 tahun dan Rabiahtul Adawiyah Md Shash, 31 tahun membuat pengakuan itu dihadapan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan, Mahmad dan Rabiahtul bersama tiga lagi suspek yang masih bebas didakwa dengan niat untuk memperdagang empat individu termasuk tiga wanita berumur 30 hingga 57 tahun.

Kesalahan dilakukan di Ikhwan Resort, Kampung Air Bintan, Bandar Penawar, Kota Tinggi dalam tempoh Ogos 2023 hingga 1 Oktober 2024.

Pendakwaan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk setiap pertuduhan selain pasport diserah kepada mahkamah, serta perlu lapor diri di balai polis setiap bulan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Fathlul Anwar Muin.

Sebutan semula kes pada 27 November depan untuk penyerahan dokumen.

Sementara itu, tertuduh ketiga turut didakwa di mahkamah sama.

Muhammad Ansarullah Tukino, 20 tahun yang juga penjaga lembu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pada Jun lalu.

Dia didakwa meraba peha dan kemaluan mangsa di Surau Resort Ikhwan, Bandar Penawar, Kota Tinggi, kira-kira 10.00 malam pada 1 hingga 3 Jun lalu.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika disabit kesalahan, penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000.

Tertuduh diwakili peguam, Muhd Zaim Rosli.

Sebutan semula November depan.

Untuk kedua-dua pendakwaan kes, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid.

Trainee2