PUTRAJAYA, 16 Oktober-Kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) tidak dibenarkan berjumpa ibu bapa mereka.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, ini kerana rumah perlindungan kanak-kanak itu kini sedang diperhatikan dan menegaskan kawalan keselamatan tinggi di premis berkenaan.
"Ada orang yang mengintai di luar sana jadi kita tidak tahu ini sama ada bapa ke siapa.
"Sebab itu, ini (rumah perlindungan) tempat selamat, perkara pertama kita buat adalah memastikan tempat itu selamat. Kita pun tak tahu siapa yang mengintai, kita ada pengawal jaga,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Kolaborasi Strategik Bersama Kerajaan Negeri: Reformasi Penyaluran Bantuan Am Negeri di sini.
Beliau diminta mengulas mengenai status keselamatan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah kebajikan berkaitan GISBH.
Seramai 560 kanak-kanak melibatkan 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.