fb fb fb fb fb

GISB: MAIS tegas pastikan sekolah Islam terlibat ditutup, dibatal pendaftaran

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 September- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil perhatian serius terhadap dakwaan penglibatan sekolah Islam di Negeri Selangor dalam kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan berkata, MAIS memberi arahan tegas untuk memastikan sekolah Islam yang terlibat ditutup dan dibatalkan pendaftarannya sebagai sekolah Islam di Negeri Selangor.

Ini berikutan tangkapan dan siasatan oleh PDRM atas laporan kesalahan pengabaian serta penganiayaan,termasuk kesalahan seksual terhadap penghuni di 20 rumah amal dikaitkan dengan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB).

Justeru, beliau mengarahkan supaya tindakan keras diambil terhadap GIBS dan rangkaiannya yang terbabit dalam fahaman dan ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Jelasnya, Pegawai Penguatkuasa Agama dan Nazir bagi Sekolah Islam di bawah JAIS sudah diarahkan membuat siasatan segera terhadap semua rumah amal dan sekolah Islam yang mempunyai kaitan dengan GISB dan rangkaiannya.

Ia bagi memastikan tiada ajaran bertentangan dengan ajaran Islam sebenar disebarkan di rumah amal dan sekolah Islam itu.

Tambahnya, jika didapati terdapat rumah amal dan sekolah Islam itu terbabit dengan ajaran menyeleweng daripada agama Islam, maka penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 hendaklah dibuat dengan kadar segera.

Selain itu, sekolah Islam yang dikenal pasti terbabit dengan kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam juga hendaklah dibatalkan pendaftarannya di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

MAIS turut menzahirkan sokongan yang padu terhadap usaha PDRM yang bertindak atas laporan kesalahan pengabaian serta penganiayaan termasuk kes seksual terhadap penghuni rumah amal yang berkaitan dengan GISB.

ROSLINA BINTI DIN