fb fb fb fb fb

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf sebagai MCI

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / Foto Bernama

BAGAN DATUK, 19 April - GiatMARA Bagan Datuk, di sini dinaik taraf sebagai Malaysia-China Institute (MCI) bagi melatih tenaga kerja dalam pengajian Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) tempatan yang akan mendapat kepakaran dari China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pusat tersebut akan memberi latihan asas kepada peserta sebelum mereka dihantar ke luar negara.

Beliau berkata, untuk peringkat awal, pusat tersebut akan melatih 2,000 tenaga TVET yang mendapat tajaan latihan ke negara tersebut.

"Sebenarnya kita sudah bermula daripada 2,000 tawaran tempat itu, 650 orang telah dihantar ke China. Kita buka peluang ini untuk orang Cina, orang India rakan-rakan daripada Sabah dan Sarawak juga untuk dihantar. Mereka memberikan kita tempat dan pembiayaan percuma, yang mereka minta cuma pembayaran tiket sahaja.

"Saya sudah berbincang dengan beberapa pihak untuk melakukan penajaan kepada tiket ini dan saya fikir peluang ini sangat baik kerana syarikat china yang melabur di China amat perlukan pekerja-pekerja mahir dari negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk, di sini.

Tambah Ahmad Zahid, susulan penarafan itu, usaha menaik taraf kemudahan dan infrastruktur akan dilaksanakan termasuk membesarkan kawasan kampus tersebut dalam masa terdekat.

Pada Januari lalu, dilaporkan 17 institusi TVET di China bersetuju dan bersedia untuk bersama dalam penubuhan MCI.

Peluang latihan yang diberikan itu meliputi pelbagai bidang termasuk berkaitan kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), solar, teknologi maklumat dan pemesinan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN