PUTRAJAYA, 8 September - Usaha memperkukuh pemahaman serta menarik minat generasi muda terhadap sejarah perlu dipertingkatkan agar golongan tersebut benar - benar memahami sejarah terdahulu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penerangan mengenai sejarah negara juga memerlukan kerjasama secara aktif oleh pihak berkaitan dalam menaikkan minat golongan muda untuk memahami sejarah pembentukan Malaysia.
“Cabaran kita adalah bagaimana membangunkan naratif kebangsaan yang dapat menembusi segala rintangan. Dengan itu, literasi sejarah dapat berkembang dalam kalangan generasi muda dan masyarakat,” katanya.
“Tamadun tertegak dengan budaya, dengan sejarah dan dengan ketinggian nilai. Tamadun yang kita dirikan ialah tamadun Malaysia, maka Madani ini mesti memastikan nilai dan perspektif kita dihayati.
Sejarah bagi saya bukan semata-mata disiplin ilmu, tetapi ilmu tentang masyarakat dan peradaban. Dalam negara yang sedang berkembang, ia penting untuk menanam semangat dalam kalangan generasi muda,” jelas beliau.
Datuk Seri Anwar Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran, penyampaian watikah dan mesyuarat Majlis Sejarawan Negara, di sini hari ini.
Beliau menegaskan, sejarah perlu dilihat bukan sekadar sebagai subjek pembelajaran, sebaliknya sebagai asas pembinaan identiti bangsa dan tamadun negara.