
KUALA LUMPUR, 8 April – Persetujuan genjatan senjata selama dua minggu antara Amerika Syarikat dan Iran dilihat sebagai mercu tanda baharu ke arah pengukuhan diplomasi global.
- Genjatan senjata wajar dilanjutkan dan dijadikan asas rundingan menyeluruh bagi meredakan konflik yang berpanjangan.
- Pemanjangan konflik mesti dihentikan kerana meningkatkan risiko ketidakstabilan serantau dan global.
- PBB serta institusi perundangan antarabangsa perlu proaktif memudahcara dialog dan membina konsensus bagi memastikan keamanan sejagat.
Perkembangan itu sekali gus membuka ruang kepada penyelesaian konflik tanpa kebergantungan kepada pendekatan ketenteraan.
Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan perkembangan itu sebagai titik perubahan penting apabila kuasa-kuasa besar mula memberi keutamaan kepada rundingan dan persefahaman berbanding konfrontasi.
Menurut beliau, genjatan senjata tersebut wajar dilanjutkan dan dijadikan asas kepada rundingan lebih menyeluruh bagi meredakan konflik yang berpanjangan.
“Usaha memanjangkan konflik perlu dihentikan kerana ia hanya meningkatkan risiko ketidakstabilan, bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga global.
“Sebarang tindakan unilateral yang bercanggah dengan prinsip kedaulatan negara adalah tidak wajar dan bertentangan dengan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan penggunaan kekerasan,” katanya ketika dihubungi Berita RTM.
Tambahnya, pendekatan berasaskan tekanan dan kekerasan tidak lagi relevan dalam landskap antarabangsa masa kini, sebaliknya penyelesaian melalui saluran diplomasi lebih konstruktif dan mampan.
Beliau turut berharap PBB serta institusi perundangan antarabangsa dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam memudah cara dialog dan membina konsensus global.
Langkah itu penting bagi memastikan keamanan sejagat terus terpelihara serta mengelakkan sebarang tindakan unilateral yang boleh menjejaskan kestabilan dunia.