KUALA LUMPUR, 29 Mac- Negara-negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Myanmar dan Thailand susulan gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud yang melanda bahagian tengah Myanmar semalam.
Dalam satu kenyataan rasmi, Menteri-menteri Luar ASEAN mengiktiraf keperluan mendesak bagi bantuan kemanusiaan dan menyatakan kesediaan untuk menyokong usaha bantuan serta pemulihan di kedua-dua negara terjejas.
ASEAN turut menyatakan komitmen untuk menggerakkan Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN ERAT), menggunakan Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA), serta menyediakan sokongan melalui Pasukan Mencari dan Menyelamat di kawasan bandar (USAR), bergantung kepada keutamaan yang ditetapkan oleh Kerajaan Myanmar dan Thailand.
"ASEAN sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap solidariti serantau dan akan bekerjasama rapat dalam menyelaras bantuan kemanusiaan.
"Organisasi ini juga akan menyokong dan memudah cara operasi bantuan serta memastikan tindak balas kemanusiaan yang segera dan berkesan dengan bantuan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA)," menurut kenyataan tersebut.