KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dilaporkan berlaku di Johor awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa itu berlaku pada pukul 6.13 pagi.
"Pusat gegaran berlokasi pada 2.5° Utara dan 102.8° Timur, pada kedalaman 10 kilometer, iaitu kira-kira 5 kilometer barat Segamat, Johor.
Gegaran dirasai di kebanyakan kawasan di Johor serta beberapa kawasan berhampiran termasuk Negeri Sembilan, Melaka dan selatan Pahang," menurut kenyataan MetMalaysia.
Jabatan itu akan terus memantau keadaan berkenaan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam catatan di Facebook berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
Jelas beliau, perkembangan itu dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi.
“Kerajaan Negeri Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan.
Saya menasihatkan rakyat agar menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa," katanya.