fb fb fb fb fb

Gembox@Nilai: Pasar malam moden beroperasi secara berperingkat mulai Ogos

NILAI, 2 Julai- Gembox@Nilai sebuah projek pembangunan berkonsepkan pasar malam moden yang bakal menjadi daya tarikan terbaharu pelancongan di Nilai, Negeri Sembilan, dijangka beroperasi secara berperingkat bermula Ogos depan. 

Gembox yang disifatkan sebagai Pasar Malam Kebudayaan Simbolik Malaysia, menghimpunkan 850 buah gerai yang menawarkan pelbagai barangan tempatan dari 13 buah negeri di seluruh negara.


(Ilustrasi susunan gerai di Gembox@Nilai)

Ia merangkumi produk jualan makanan dan minuman, barangan cenderamata , hasil seni kraftangan, buah-buahan tempatan serta barangan trend semasa.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yakin konsep pasar malam yang menghimpunkan segala aspek adat dan budaya dari seluruh negara itu adalah satu konsep baharu yang dapat menarik orang ramai berkunjung ke Negeri Sembilan. 

"Saya yakin ini akan menarik minat golongan muda, golongan pelancong yang ingin melihat bahawa satu pembaharuan dalam ruang mereka untuk mereka mendapat satu pengalaman yang baik seolah sebelum ni mereka ke negara asing ,mereka melawat ke tempat yang biasa bagi kita biasa kerana ini tempat tradisional tetapi hari ini kita tempat yg baru ," katanya.


(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)

Keunikan Gembox ialah ia menerapkan elemen adat dan budaya Malaysia ke platform pasar malam moden itu.

Ini dapat dilihat dengan tarikan seperti pentas persembahan seni, budaya dan muzik, 365 hari Pesta Durian serta medan selera dan pasar malam tradisional yang berkonsepkan warna pelangi.

Komponen baharu, antaranya Pawagam Keluarga Terbuka Percuma, Rumah Salji, Persembahan Sarkas Antarabangsa, Pertunjukan Cahaya Dron serta Pertunjukan Bunga Api turut menjadi nilai tambah kepada hub pelancongan baharu ini.

Pengasas yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan GD Holdings, Datuk Sri Yeat Sew Chuong berkata urusan perniagaan di Gembox akan dijalankan dengan kaedah tanpa tunai, agar maklumat yang diperoleh menerusi pangkalan data, dikumpul, sekaligus membantu peniaga mempromosi produk mereka ke seluruh negara.

'Di sini semua 'cashless' kita tidak guna wang kertas lagi. Jadi apa faedah 'cashless' pada negara dan industri kita dapatkan analisis 'database" yang dapat bantu semua pemaju perniagaan di sini memasarkan produk mereka ke seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan, Velmurugan Arasue yakin para pengunjung yang datang akan rasa teruja dengan hab pelancongan baharu itu.

"Paling menarik ialah fasiliti pembayaran tanpa tunai dan juga konsepnya yang menggabungkan semua produk lokal, kita tak oerlu pergi ke negeri lain untuk dapatkan makanan kegemaran. Segalanya kita boleh dapatkan di Gembox@Nilai," ujar Velmurugan.

Media Baharu