fb fb fb fb fb

'Gelombang Padi' digerakkan tahun ini - Mohamad Sabu

Datuk Seri Mohamad Sabu

PUTRAJAYA, 16 Januari- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menggerakkan inisiatif Gelombang Padi tahun ini untuk menambah baik dan meningkatkan mekanisme padi sedia ada kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Inisiatif itu akan menggariskan 12 program untuk dilaksanakan sebagai hala tuju baharu industri padi tempatan antaranya memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

"Kita berusaha mencapai kadar sara diri (SSR) seperti yang digariskan antaranya meningkatkan pelbagai bentuk pertanian moden, pembajaan penagiran supaya mencapai hasil yang lebih tinggi.

"Selain itu kita akan menekankan berkenaan pembukaan kawasan-kawasan baru seperti di Sabah dan Sarawak untuk tanaman padi. Sekiranya kita capai tujuh tan perhektar secara purata, kita sudah boleh mengeksport beras. Tetapi purata baru sekitar empat hingga lima hektar sahaja," katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2024 kepada warga KPKM di sini.

Bagaimanapun pada tahun ini Mohamad mensasarkan 100 peratus SSR beras, pada tahun lepas berada pada tahap 65 peratus.

Selain itu, inisiatif tersebut juga akan bertindak sebagai pengubah dalam industri beras dan padi negara.

KPKM juga akan memberi fokus untuk mengukuhkan industri sedia ada iaitu ayam dan telur, bawang dan nanas tahun ini.

Dalam perkembangan lain pergolakan yang berlaku di Laut Merah dijangka tidak memberi kesan yang ketara kepada import pertanian Malaysia. Ia disebabakan Malaysia tidak terlalu bergantung kepada hasil import yang menggunakan laluan maritim.

Mohamad berkata, kementerian akan terus memantau keadaan itu secara berkala supaya keadaan itu tidak menjejaskan bekalan makanan negara. 

"Kawasan itu kita tidak banyak mengimport agrikultur. Kalau dahulu kita import bijirin jagung dari Ukraine yang menggunakan laluan itu. Kawasan itu laluan utamanya ialah minyak, kita akan lihat kesan itu mungkin boleh dilihat dalam beberapa minggu yang akan datang," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata kementerian juga akan membuat langkah untuk menangani krisis berkenaan sekiranya ia menjejaskan import pertanian Malaysia.

Sebelum ini, Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan supaya sentiasa memerhatikan krisis semasa di Laut Merah bagi memastikan impaknya tidak meningkat yang seterusnya akan membebankan perniagaan dan ekonomi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI