TANAH MERAH, 29 Disember - Hujan lebat berterusan melanda Kelantan sejak semalam menyebabkan tiga daerah di negeri itu, iaitu Tanah Merah, Kuala Krai, dan Machang, mulai banjir.
Sebanyak 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan setakat pukul 9.00 malam tadi, menempatkan lebih 500 penduduk daripada 146 keluarga yang terjejas akibat banjir.
Tinjauan RTM di beberapa kawasan terjejas sekitar Tanah Merah mendapati rata-rata penduduk terpaksa berpindah ke PPS setelah rumah mereka mula dinaiki air akibat hujan lebat sejak semalam.
Seorang penduduk, Nor Akmal Saari, berkata air mula memasuki rumahnya sehingga ke paras paha.
"Saya angkat semua barang takut air naik lebih banyak malam ini, sebab itu kami pindah ke PPS," katanya.
Arman Daud, pula berkata air naik secara mendadak sehingga tidak sempat membuat persediaan.
"Ini kali kedua saya datang ke PPS Klewek. Air naik cepat kali ini," katanya.
Sementara itu, Zambri Mamat menyatakan paras air di rumahnya kini sudah mencapai buku lali, dan beliau memutuskan untuk berpindah lebih awal kerana kawasan rumahnya sudah dinaiki air.
Berdasarkan laman web publicinfobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah, telah melepasi paras amaran dengan bacaan 22.5 meter.