Gelombang haba jejas bekalan ikan di utara, ganggu ekosistem laut

Foto RTM

ARAU, 26 Mac -Gelombang haba memberi ancaman lebih besar apabila bekalan ikan di utara Semenanjung dijangka berkurangan susulan perubahan suhu laut dan ekosistem perairan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan suhu mengganggu kitaran nutrien dan kandungan oksigen dalam air.
  • Gangguan ini menjejaskan habitat hidupan akuatik.
  • Pergerakan air dan algal bloom mendorong ikan berpindah, mengurangkan bekalan ikan.
  • Ciri geografi landai dan kurang litupan hutan memburukkan kesan; orang disaran kurangkan pelepasan gas rumah kaca dan elak pembakaran terbuka.

Pensyarah Kanan Program Teknologi Marin Lestari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis Rosnani Nazri berkata, peningkatan suhu mengganggu kitaran nutrien serta kandungan oksigen dalam air.

Kataanya, keadaan itu sekali gus menjejaskan habitat hidupan akuatik.

Beliau yang juga aktivis alam sekitar berkata, situasi itu turut berpotensi menyebabkan kekurangan sumber ikan di laut, sungai dan tasik.

“Semasa fenomena ini berlaku, terdapat perubahan suhu laut yang mengakibatkan berlakunya fenomena upwelling nutrien, iaitu pergerakan air yang berpusing antara kawasan laut panas dan kawasan laut sejuk.

“Keadaan ini menyebabkan oksigen dan karbon dioksida dilepaskan ke dalam laut, seterusnya mencetuskan limpahan nutrien seperti algal bloom. Akibatnya, ikan akan berpindah ke kawasan yang lebih sejuk, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan ikan,” katanya kepada pemberita di sini.

Ketika ini, paras air di Empangan Timah Tasoh semakin menyusut ke tahap amaran.

Rosnani berkata, faktor geografi negeri yang landai dan kurang litupan hutan, memburukkan lagi keadaan apabila angin panas mudah memasuki kawasan tanpa halangan.

“Orang ramai disaran mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, termasuk mengelakkan pembakaran terbuka bagi mengekang impak pemanasan global yang semakin ketara,” katanya.