fb fb fb fb fb

Gegaran di Ipoh bukan aktiviti peletupan kuari - Pengarah JMG Perak

Gambar hiasan

IPOH, 21 Oktober - Insiden gegaran yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh pagi tadi bukan berpunca daripada aktiviti peletupan di kuari.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Nizarul Ikram Abdul Rahim, mengesahkan tiada kerja peletupan batu dijalankan pada waktu kejadian pagi tadi.

"Berdasarkan jadual dan rekod tiada sebarang kerja peletupan batu di kuari pada masa kejadian iaitu kira-kira 11.05 pagi tadi," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerja peletupan di kuari hanya dibenarkan dijalankan antara pukul 12 tengah hari hingga 5 petang, dari Isnin hingga Khamis.

Kerja peletupan seperti yang disyaratkan dalam Surat Kebenaran Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) dan Surat Kebenaran Skim Kuari (SKSK).

Beliau turut memaklumkan bahawa insiden gegaran seumpama itu pernah berlaku dua kali sebelum ini, iaitu pada Jun 2012 dan 4 Oktober 2018.

Kedua-dua kejadian itu berlaku antara 11.00 hingga 11.15 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, mengesahkan pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Antara kawasan yang merasai gegaran ialah Bandar Baru Putra, Bercham, Medan Istana, Meru, dan Manjoi.

Terdahulu, tular di media sosial penduduk sekitar kawasan berkenaan mendengar bunyi letupan yang kuat dan turut merasai gegaran. 

GRACE AISYAH KEDAYAN