fb fb fb fb fb

Garis panduan berfokus penggunaan tenaga, air akan diperkenal

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz/ Facebook Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Garis panduan berfokus bagi Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE) akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia bagi meminimumkan jejak alam sekitar dan pada masa sama memaksimumkan kecekapan operasinya.

Selain itu, Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang akan datang bakal membolehkan Akses Pihak Ketiga (TPA) untuk tenaga boleh diperbaharui.

Ini membolehkan syarikat tersebut mendapatkan tenaga bersih secara langsung daripada pengeluar tenaga.

"Minggu lepas, kami juga melancarkan Rangka Kerja Dasar Ekonomi Pekeliling (CEPF) untuk sektor pembuatan yang akan memainkan peranan penting dalam memastikan industri termasuk pusat data, menerima pekeliling dengan mempromosikan penggunaan semula, kitar semula dan pembuatan semula bahan", katanya.

Beliau berucap pada majlis Mantap Malaysia Bersama AI anjuran Google dan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Datanya, di ibu negara.

Majlis tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat.

Jelas beliau, pusat data Google akan menjadi penanda aras korporat baharu di Malaysia melalui PUE dan WUE serta melalui amalan terbaik ekonomi pekeliling kerajaan.

ROSLINA BINTI DIN