
KUALA LUMPUR, 24 Februari – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan menyiasat beberapa insiden gangguan melibatkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang berlaku pada awal Ramadan.
- APAD diarahkan menyiasat beberapa insiden gangguan LRT Kelana Jaya pada awal Ramadan.
- Menteri mengingatkan tindakan terhadap Prasarana jika wujud kelemahan operasi tidak munasabah.
- CEO Prasarana diminta beri penjelasan dalam mesyuarat pasca Kabinet dan pelan pemulihan segera.
- Gangguan teknikal kerap pada waktu puncak menyebabkan kesesakan dan rungutan pengguna.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata siasatan itu termasuk mengambil tindakan terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) jika didapati wujud kelemahan operasi yang tidak munasabah.
“Saya memandang serius beberapa insiden gangguan membabitkan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada awal Ramadan ini. Rakyat berhak menuntut mutu perkhidmatan yang lebih efisien dan boleh diharap,” kata Loke menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Amir Hamdan mengemukakan penjelasan dalam mesyuarat pasca Kabinet serta membentangkan pelan tindakan pemulihan segera.
Gangguan teknikal yang kerap berlaku khususnya pada waktu puncak mencetuskan rungutan pengguna.
Insiden terbaharu pagi tadi menyaksikan kebanyakan stesen dipenuhi penumpang, sekali gus menyebabkan kesesakan luar biasa.