Gangguan laluan Batang Benar–Labu selesai

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 26 Mac -Operasi tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter di laluan antara Stesen Batang Benar dan Stesen Labu kini kembali normal sepenuhnya selepas kerja baik pulih sistem elektrifikasi berjaya diselesaikan pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerosakan talian atas di KM 434.423 telah dibaiki sepenuhnya sekitar pukul 3.56 pagi.
  • Semua perkhidmatan ETS dan KTM Komuter bagi laluan terlibat kini beroperasi semula mengikut jadual.
  • KTMB menyediakan bas pengantara dan bantuan kakitangan untuk memastikan keselamatan serta kebajikan penumpang.
  • KTMB komited kepada pemulihan pantas, pemantauan operasi berterusan dan maklumat lanjut melalui saluran rasmi atau talian 03-9779 1200.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan kerosakan melibatkan alat talian atas di KM 434.423 yang berlaku semalam telah dibaiki sepenuhnya sekitar pukul 3.56 pagi.

Menurut KTMB, susulan kerja-kerja pemulihan itu, semua perkhidmatan tren elektrik dan KTM Komuter di laluan terlibat kini beroperasi semula mengikut jadual yang ditetapkan.

“Operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) serta KTM Komuter bagi laluan terlibat kini telah kembali beroperasi seperti biasa mengikut jadual yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang tempoh gangguan, KTMB mengambil langkah proaktif dengan menyediakan bas pengantara serta bantuan kakitangan di lapangan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penumpang terpelihara.

“Kesemua penumpang ETS serta perkhidmatan KTM Komuter yang terjejas telah selamat tiba ke destinasi masing-masing,” jelas kenyataan berkenaan.

KTMB turut menegaskan komitmennya untuk menangani sebarang gangguan dengan segera melalui tindakan pemulihan pantas dan pemantauan operasi secara berterusan bagi meminimumkan kesan kepada pengguna.

Dalam masa sama, syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada penumpang atas kesabaran dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan serta memohon maaf atas kesulitan yang dialami.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran media sosial rasmi KTMB atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.