GEORGE TOWN, 27 Mac- Sebanyak 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang akan terkesan dengan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) dari 25 hingga 28 April.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan 23 projek kerja air secara serentak, sepanjang tempoh tersebut.
Projek itu dilaksanakan bagi penyambungan akhir bahagian saluran paip yang menyeberangi Sungai Perai di Ampang Jajar.
Projek di sembilan lokasi instalasi melibatkan peruntukan sebanyak RM25 juta.
"Dalam tempoh ini gangguan berlaku, PBAPP juga mengambil kesempatan melaksanakan serentak 23 projek kecil-kecilan di sembilan pemasangan tugas utama adalah untuk penyambungan akhir saluran paip menyeberangi Sungai Perai, 23 kerja itu melibatkan pelaksanaan kerja penting di loji Sungai Dua", katanya dalam sidang media di Komtar.
PBAPP memberi jaminan bahawa bekalan air di kawasan industri utama akan pulih dalam tempoh 24 hingga 48 jam, manakala pemulihan penuh dijangka selesai dalam tempoh 60 jam.
Jelasnya, demi kepentingan pengguna, PBAPP merancang mencapai pemulihan bekalan air sebanyak 88 peratus untuk 300,185 dari jumlah pengguna yang terjejas dalam tempoh 48 jam.
Orang ramai dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya untuk tempoh 24 hingga 60 jam bergantung kepada lokasi kediaman masing-masing.