fb fb fb fb fb

Galak asnaf ceburi bidang keusahawanan

FOTO HIASAN

ARAU, 17 Disember - Golongan asnaf digalakkan untuk menceburi bidang keusahawanan secara kreatif dan inovatif dalam usaha mengeluarkan diri dan kehidupan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Perniagaan yang diusahakan secara kreatif dan inovatif, sama ada daripada segi produk dan pemasaran mampu meningkatkan kebolehpasaran dunia persaingan yang semakin kompetitif dan mencabar.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah seseorang yang menceburi bidang keusahawanan tidak seharusnya terlalu bergantung terhadap cara perniagaan tradisional berikutan jumlah peniaga kecil dan sederhana semakin ramai dan persaingan semakin sengit. 

"Bilangan peniaga yang menjual produk yang sama mungkin terlalu banyak dan ini mungkin menyukarkan untuk menarik minat orang ramai untuk membeli produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

"Menyedari akan perkara berkenaan,  pentingnya untuk seseorang usahawan menggunakan inovasi dan kreativiti supaya produk kita lebih dikenali dan sesuatu produk atau pengiklanan haruslah diketengahkan menggunakan unsur yang positif," titah Baginda ketika mengurniakan Anugerah Usahawan Terbaik MAIPs 2023 kepada asnaf, Haron Aswad Razi yang mengusahakan perniagaan jahitan khususnya  membaiki seluar di Arked MARA Simpang Empat. 

Haron Aswad pernah mendapat bantuan kewangan sebagai modal perniagaan sebanyak RM700 pada tahun 2018 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk memulakan perniagaan dan terus berkembang dan berjaya beroperasi hingga ke hari ini.

MAIPs turut menyediakan pelbagai bentuk latihan dan bantuan modal kepada asnaf yang ingin memulakan perniagaan mereka.

TETITIA YUSOFF