fb fb fb fb fb

Gajah sesat cetus panik pengguna jalan raya

Gajah jantan sesat di laluan utama Bandar Cheneh Baru, Kemaman pagi tadi diselamatkan pihak Perhilitan dan akan dipindahkan ke lokasi lebih sesuai dalam masa terdekat.

KEMAMAN, 18 Disember - Kehadiran mengejut seekor gajah liar di laluan utama Bandar Cheneh Baru ke Felda Cherul, Kemaman, pagi tadi mencetuskan panik dalam kalangan pengguna jalan raya.

Haiwan tersebut dikesan berkeliaran di kawasan itu sejak 10 pagi, dipercayai tersesat dari habitat asal selepas kawasan hutan berhampiran ditenggelami banjir.

Kelibat gajah jantan itu sempat dirakam orang awam sebelum video tular di media sosial.
 
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, gajah terbabit cuba memasuki kawasan ladang sawit berdekatan sehingga mengganggu lalu lintas dan mencetuskan kebimbangan orang ramai.

"Sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Kemaman, bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menemui haiwan itu dalam kawasan hutan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
 
Menurut beliau, gajah tersebut kini berada dalam kawalan pihak Perhilitan dan akan dipindahkan ke lokasi lebih sesuai dalam masa terdekat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mendekati kawasan kejadian demi keselamatan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN