ALOR SETAR, 27 Februari - Kerajaan Negeri Kedah tidak akan teragak-agak untuk menyenarai hitam penganjur yang didapati gagal mematuhi syarat atau garis panduan yang ditetapkan dalam menganjurkan sesuatu program atau karnival.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali berkata ia bagi memastikan insiden yang berlaku semasa penganjuran karnival di Taman Jubli Emas, Alor Setar, Sabtu lalu tidak berulang kembali.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mempertimbang untuk menempatkan anggota penguatkuasa bagi memantau perjalanan sesuatu karnival agar ianya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.
“Selepas kejadian ini kita nampak langkah yang kita kena buat ialah pemantauan semasa ekspo itulah, setiap apa yang kita beri lesen itu. Untuk pemantauan ini kita kena tengok kepada atur cara. Tapi atur cara ini kalau tengok penganjur tidak tulis, tapi tulis perkara lain tiada tulis persembahan dan sebagainya.
"Untuk kedepan ini saya minta kita punya penguat kuasa kena pergi pantau program, kalau tiga hari, tiga harilah kita lakukan pemantauan,” katanya pada sidang media, di sini.
Tambah Norizan yang juga Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), tindakan yang akan diambil terhadap penganjur karnival di Taman Jubli Emas itu akan diuruskan oleh Pejabat Daerah dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Bagaimanapun katanya, pihak penganjur telah pun memohon maaf berhubung insiden tersebut.
Penganjuran konsert Choii Underground Music Tour Kedah 2.0, Sabtu lalu mencetuskan kontroversi kerana melibatkan kelakuan tidak sopan dikalangan golongan muda dan tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.
Konsert tersebut turut menerima kecaman kerana diadakan pada malam Nisfu Syaaban.