fb fb fb fb fb

Gadis maut selepas MPV dinaiki langgar belakang lori

FOTO FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba Malaysia Official)

ALOR SETAR, 9 Februari- Seorang gadis berusia 18 tahun maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 51.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di sini, pagi tadi.

Seorang lelaki, 33, yang merupakan penunggang sebuah motosikal turut cedera dalam kemalangan itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Kedah menerima panggilan kecemasan daripada talian MERS999 mengenai nahas terbabit pada pukul 5.13 pagi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Khirul Anwar Shaari melaporkan lima mangsa terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Tiga mangsa yang berada dalam sebuah MPV dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

Bagaimanapun, salah seorang yang menaiki MPV tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.

Sementara penunggang motosikal dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala pemandu lori, 26, serta dua lagi menaiki MPV iaitu lelaki, 56, dan wanita, 44, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang turut dibantu oleh pasukan BBP Pendang.

0902 WANITA MAUT LANGGAR LORI 2
FOTO FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  (Bomba Malaysia Official)

SITI AISHAH BINTI MD ISA