
KUALA LUMPUR, 24 Februari – Fenomena ‘Fear of Missing Out’ atau FOMO dilihat semakin ketara setiap kali menjelang Ramadan, khususnya didorong pengaruh media sosial serta trend pemasaran yang agresif terutama pada musim perayaan.
- FOMO meningkat menjelang Ramadan disebabkan pengaruh media sosial dan pemasaran agresif.
- Perbelanjaan dipacu oleh keinginan ikut trend, bukan keperluan, menyebabkan simpanan menipis dan hutang.
- Pentingnya kawal keinginan, had penggunaan media sosial, dan kembali kepada asas Ramadan.
- Tingkatkan literasi kewangan dan berbelanja berhemat untuk elak tekanan kewangan selepas perayaan.
Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, perkembangan teknologi maklumat menyebabkan trend gaya hidup, makanan dan fesyen mudah tersebar serta mempengaruhi masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Sebagai manusia, kita memang ada kecenderungan untuk rasa mahu sama seperti orang lain. Apabila melihat perkongsian makanan mahal atau pakaian baharu di media sosial, timbul keinginan untuk turut serta walaupun kemampuan kewangan berbeza.
Akhirnya kita berbelanja untuk mendapatkan ‘validation’ sosial, dan ini boleh menipiskan simpanan serta membawa kepada hutang,” katanya ketika ditemui media selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan peningkatan perbelanjaan di bazar Ramadan dan persiapan Aidilfitri sering kali dipacu oleh keinginan mengikut trend, bukan keperluan sebenar.
Dalam jangka panjang, tekanan kewangan selepas musim perayaan boleh menyumbang kepada stres dan gangguan emosi.
Selain itu, aspek harga dan kualiti makanan juga perlu diberi perhatian. Kenaikan harga saban tahun menuntut pengguna lebih bijak membuat pilihan, termasuk memastikan kebersihan dan keseimbangan nutrisi makanan yang dibeli.
“Kita perlu kembali kepada asas Ramadan, iaitu mengawal diri. Bukan sekadar mengawal makan dan minum, tetapi juga mengawal keinginan serta penggunaan media sosial. Jika perlu, ambil rehat daripada media sosial supaya tidak terperangkap dalam perbandingan yang tidak realistik,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan literasi kewangan dan berbelanja secara berhemat, terutama apabila wujud fenomena ‘bazar Ramadan kayangan’ yang menawarkan harga lebih tinggi.
Tegas beliau, Ramadan seharusnya menjadi medan latihan membentuk disiplin diri termasuk dalam pengurusan kewangan, emosi dan penggunaan gajet agar masyarakat tidak terjerumus dalam tekanan dalam implikasi kewangan yang berpanjangan selepas musim perayaan.