KUALA LUMPUR, 8 Disember - Seramai 35,994 daripada 50,096 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan subsidi FLYsiswa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata masih terdapat kira-kira 14,000 pelajar masih belum membuat permohonan dan berharap mereka dapat berbuat demikian sebelum 31 Disember ini.
"Permohonan ini telah bermula sejak 15 Ogos yang lalu jadi kita akan terus sampai 31 Disember. Ada lebih kurang 14,000 lagi yang belum menuntut. Kita nasihatkan mereka supaya mereka yang layak boleh menuntut tiket ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran FLYsiswa di Auditorium HEP, Universiti Malaya, di sini yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof
Loke turut menyarankan supaya pelajar merancang perjalanan dengan baik agar FLYsiswa yang telah diperluaskan kepada pelajar Politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Matrikulasi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Kementerian juga katanya sedang meneliti untuk meningkatkan amaun inisiatif itu selain memperluaskan bantuan berkenaan kepada pelajar di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).