fb fb fb fb fb

FINAS sasar kehadiran 30,000 pengunjung sempena program EKSPRESI@FINAS

(Pengerusi FINAS, Datuk Seri Zurainah Musa bercakap pada sidang media sempena 
program EKSPRESI@FINAS)

HULU KELANG, 23 Oktober - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung sempena program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia, EKSPRESI@FINAS.

Program yang julung kali itu diadakan bertujuan merakyatkan seni selain menggembleng kerjasama antara penggiat industri.

Jelas Pengerusinya, Datuk Seri Zurainah Musa, program yang berlangsung sehingga esok itu bagi meneroka potensi dan menjana bakat baharu menerusi sinergi dua hala antara penggiat seni, masyarakat dan agensi.

"Merakyatkan FINAS, merakyatkan industri kreatif ini dan kita ingin menjalinkan sinergi yang kuat di antara FINAS dan agensi kerajaan dan penggiat industri kreatif ini, mustahak kita nak adakan komunikasi dua hala," kata beliau pada sidang media sempena Program EKSPRESI@FINAS, di sini hari ini.

Turut diadakan sesi uji bakat bersama syarikat produksi, uji bakat suara latar, sesi tayangan dan apresiasi filem tempatan serta persembahan penggiat industri kreatif dan komuniti.

Pengunjung yang bertuah juga berpeluang membawa pulang sebuah Proton Saga.

Pelbagai produk tempatan ditawarkan menerusi 37 reruai selain tawaran diskaun kompaun sehingga 80 peratus oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Selain itu, khidmat bas juga disediakan buat pengunjung di sekitar Melawati.


(Antara program yang diadakan sempena Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia,
 EKSPRESI@FINAS) 

Dalam pada itu, Zurainah memaklumkan FINAS kini sedang memperhalusi kerjasama bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memperuntukkan sebilangan rumah kos rendah buat penggiat seni veteran yang memerlukan.

"Sekarang FINAS sedang berkerjasama dengan DBKL untuk mendapatkan 'allocation' (peruntukan) rumah-rumah prihatin PPR, rumah-rumah perumahan awam, kita cuba mendapatkan rumah-rumah ini untuk artis veteran yang memerlukan bantuan perumahan, kita sedang berkerjasama, bagaimana FINAS boleh membantu melalui DBKL," menurut beliau.

Tambahnya, meski pun perkara tersebut masih di peringkat awal namun beliau optimis ia dapat direalisasikan tanpa mengenepikan keperluan masyarakat yang turut memohon kemudahan tersebut.

Media Baharu