KUALA LUMPUR, 19 Mac- Festival Riuh Raya Kita 2025 yang mengetengahkan produk dan rekaan tempatan bawah satu bumbung sempena Aidilfitri mampu menjana hasil jualan keseluruhan melebihi RM1.3 juta.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ia berdasarkan sasaran 60,000 pengunjung yang dijangka hadir memeriahkan festival selama lima hari anjuran MyCreative Ventures dengan sokongan Kementerian Komunikasi.
"Seramai 75 peniaga pakaian dan aksesori kelengkapan raya serta 20 peniaga makanan dan minuman menyertai Riuh Raya Kita pada kali ini.
"Waktu operasi akan bermula pada pukul 3.00 petang hingga 2.00 pagi. Orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau program berkenaan di Plaza Raintree, Tun Razak Exchange (TRX), di ibu negara.
Selain menyediakan ruang berniaga untuk usahawan dan komuniti kreatif tempatan, festival berkenaan turut menampilkan 23 persembahan pentas dan sembilan bengkel kreatif antaranya kaligrafi khat, anyaman ketupat, kompang tradisional dan sampul raya DIY.
Pada festival berkenaan empat artis veteran wanita negara turut diraikan dan menerima sumbangan bawah Program Budi Seni.
Teo menyerahkan sumbangan kepada penyanyi veteran Shima dan Zaiton Sameon serta pelakon veteran Margaret Gan dan Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah.
"Sempena Ramadan dan Hari Wanita Antarabangsa, kami memilih empat artis veteran wanita untuk menerima sumbangan. Program ini bertujuan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM2,000 serta baucar membeli-belah di Riuh Raya Kita sebanyak RM1,500," katanya lagi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif ) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) Zainariah Johari.