Festival Ghontak Nogoghi 2025 tonjol keunikan adat dan budaya Negeri Sembilan

PORT DICKSON, 24 Oktober – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung bersempena Festival Ghontak Nogoghi 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival julung kali bertema “Lantai Adat Laman Budaya” menyerlahkan seni dan budaya Negeri Sembilan.
  • Berlangsung di Pantai Batu 1, mulai 9 pagi hingga tengah malam, menarik pengunjung sepanjang hujung minggu.
  • Program termasuk Pertandingan Hiasan Lancang, Dam Harimau, dan Busana Setengah Tiang.
  • Inisiatif MOTAC dan kerajaan negeri untuk mempromosi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pengarah JKKN Negeri Sembilan, Mazidah Mustapha berkata, program julung kali itu bertemakan “Lantai Adat Laman Budaya” dan bertujuan menonjolkan seni serta budaya negeri dalam usaha mengekalkan warisan tempatan.

Program berkenaan berlangsung bermula hari ini hingga Ahad, dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam di Pantai Batu 1, di sini.

“Kita tahu Negeri Sembilan terkenal dengan keunikan adat perpatih. Jadi, ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama kerajaan negeri untuk menyemarakkan aktiviti seni, budaya dan warisan tempatan.

“Selain itu, ia juga antara inisiatif kita dalam mempromosikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika ditemui kepada pemberita pada festival tersebut.

Antara pengisian festival termasuk Pertandingan Hiasan Lancang, Pertandingan Dam Harimau dan Pertandingan Busana Setengah Tiang.

Dam Harimau dan Busana Setengah Tiang merupakan sebahagian daripada elemen sembilan identiti kebudayaan Negeri Sembilan.