KOTA TINGGI, 6 Februari - Setelah hampir empat tahun ditutup, perkhidmatan Feri Tanjung Belungkor, di sini ke Batam dan Tanjung Pinang di Indonesia serta Singapura akan beroperasi semula awal bulan depan.
Tiga feri pengangkut penumpang beroperasi secara ulang-alik sekali sehari dengan kapasiti 300 penumpang bagi setiap perjalanan ke tiga destinasi berkenaan.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata pembukaan semula terminal feri berkenaan mampu melonjakkan ekonomi dan aktiviti pelancongan di Johor.
"Ini sudah cukup baik untuk menggalakkan lagi pelancongan di sekitar negeri Johor dan ini sedikit sebanyak akan membantu untuk meningkatkan ekonomi negeri Johor.
"Bukan itu sahaja, mereka juga bercadang untuk meningkatkan khidmat feri RORO iaitu untuk kereta dan juga lori. Jadi ini sedikit sebanyak akan meningkatkan sektor pelancongan," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Terminal Feri Tanjung Belungkor, di sini.
Tambah K. Raven, akses laluan itu juga dijangka akan meningkatkan import dan eksport antara Johor dan Indonesia apabila cadangan feri RORO Batam-Tanjung Belungkor mula beroperasi September nanti.