
KUALA LUMPUR, 3 Mac- Fenomena gerhana bulan penuh dijangka berlaku malam ini, bersamaan 14 Ramadan 1447 Hijrah, bermula pukul 7.26 malam hingga 9.17 malam.
- Gerhana bulan penuh berlaku malam ini antara 7.26 malam hingga 9.17 malam, fasa penuh hampir 58 minit.
- Fenomena hanya boleh disaksikan di beberapa benua; ia menyebabkan bulan kelihatan kemerahan.
- Program tontonan langsung dan buka puasa di Planetarium Negara; JAWI galakkan solat sunat dan khutbah gerhana.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena itu merupakan satu-satunya gerhana bulan penuh bagi tahun 2026, manakala kejadian seterusnya hanya dijangka berlaku pada 31 Disember 2028.
“Fenomena gerhana penuh kali ini boleh disaksikan di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah. Di Asia Tengah dan sebahagian besar Amerika Selatan, hanya terjadi Gerhana Bulan Separa.
“Fenomena ini menyebabkan bulan kelihatan kemerahan,” menurut kenyataan.
Jelas MYSA, tempoh keseluruhan gerhana mengambil masa kira-kira 5 jam 39 minit, manakala fasa penuh berlangsung hampir 58 minit.
Dalam pada itu, orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena berkenaan secara langsung di Planetarium Negara di ibu negara bermula 5.00 petang hingga 10.00 malam.
Orang ramai juga dialu-alukan untuk berbuka puasa bersama di lokasi berkenaan sebelum mengikuti program yang disediakan.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat sunat dan Khutbah Gerhana.
“Sesungguhnya fenomena gerhana adalah sebahagian daripada lambang kebesaran dan kekuasaan Allah SWT di dalam penciptaan alam yang perlu dihayati dan dijadikan iktibar dalam kehidupan umat Islam,” menurutnya.