LANGGAR, 6 Oktober - Sebanyak 18 lokasi di Kedah berpotensi dilanda banjir jika fenomena air pasang besar yang dijangka bermula esok hingga Jumaat ini bertembung dengan hujan lebat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, lokasi tersebut melibatkan lima daerah iaitu Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Yan dan Langkawi.
"Di Kuala Muda, kampung yang mungkin terjejas ialah Kampung Kepala Tanjung, Bukit Kechik, Tukang Jusoh, Paya, Sungai Meriam, Sungai Yu dan Tanjung Dawai.
"Di Kota Setar melibatkan Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota, Taman Sri Putra dan Taman Sri Pantai.
"Di Kubang Pasu (Kampung Kuala Kerpan, Muara Kampung Kuala Jerlun dan Muara Kampung Kuala Sanglang)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan banjir di Taman Makam Diraja Langgar, di sini.
Sementara itu di Yan melibatkan Kampung Kuala Raga, Kuala Sala dan Kuala Sungai Yan Kechil, manakala di Langkawi melibatkan Kampung Bakau Kelibang.
Air pasang besar dijangka berlaku pada pukul 12.45 tengah malam ini, pukul 1.14 pagi 8 Oktober; 1.45 pagi 9 Oktober dan 2.18 pagi 10 Oktober dengan ketinggian ombak dianggarkan hingga tiga meter.
Jika hujan lebat dan ditambah dengan fenomena air pasang besar, kemungkinan akan berlaku pertembungan dan menyebabkan banjir lebih teruk.
Pihaknya sentiasa bersiapsiaga dengan 900 anggota sedia berkhidmat pada bila-bila masa walaupun keadaan cuaca setakat ini dijangkakan baik.
Pada masa sama, masyarakat perlu sentiasa berwaspada dengan amaran yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa selain perlu peka dengan perubahan cuaca.
Mereka juga perlu memastikan keselamatan ahli keluarga, dokumen penting terjaga bagi mengelak sebarang kesulitan.