fb fb fb fb fb

Felda Jengka 24 cipta 100 replika patriotik sempena Bulan Kebangsaan

Warga peneroka Felda Jengka 24 di sini menzahirkan semangat patriotik dengan mencipta 100 replika daripada bahan terbuang sempena Bulan Kebangsaan / Foto RTM

JERANTUT, 30 Ogos - Warga peneroka Felda Jengka 24 di sini menzahirkan semangat patriotik dengan mencipta 100 replika daripada bahan terbuang sempena Bulan Kebangsaan.

Antara replika yang dihasilkan termasuk kereta klasik yang dibina menggunakan bakul, besi dan tayar terpakai, dengan masa pembinaan kira-kira sebulan.

Wakil peneroka, Mat Jam Ijab, 63, berkata idea tersebut tercetus untuk memberi kelainan pada sambutan tahun ini, sekali gus menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan, terutama dalam kalangan golongan muda.

"Idea untuk membuat kereta klasik ini timbul kerana apabila ada sambutan hari kebangsaan, kami terfikir untuk menghasilkan sesuatu seperti ini. Jadi, kami menggunakan bahan terbuang seperti tayar terpakai, bahagian hadapan yang menyerupai raga bakul dan alat-alat lain yang terbuang," katanya.

Selain itu, replika rumah generasi pertama Felda dan Jalur Gemilang gergasi turut dihasilkan.

Seorang lagi peneroka, El Baharin Idi berkata Jalur Gemilang gergasi tersebut memakan masa 10 hari untuk disiapkan.

"Kami buat Jalur Gemilang besar ini pun atas inisiatif ahli-ahli blok yang ingin membuat kelainan daripada yang lain. Biasanya kami buat kecil, tetapi kali ini kami cuba buat yang besar," katanya.

Antara replika lain yang dihasilkan ialah Menara Berkembar Petronas (KLCC), kapal terbang, wau, kereta kebal dan meriam.

Sementara itu, Ketua Peneroka, Razak Daud, 63, memuji usaha semua penduduk yang terlibat dalam menjayakan sambutan kali ini, dengan menekankan kelainan dari tahun-tahun sebelumnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN