FCoEE perkasa pendidikan asnaf menerusi kerjasama strategik universiti antarabangsa

FOTO FCoEE

KANGAR, 15 Januari – Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) terus merangka pelbagai strategi bagi memperkasa bidang pendidikan dalam kalangan asnaf, termasuk menjalin kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi di luar negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama DEFFUUZ dengan beberapa universiti antarabangsa memperkasa asnaf melalui pertukaran kepakaran dan program bersama.
  • Fokus kerjasama pada pendidikan, kerohanian, penyelidikan, pengurusan asnaf dan wakaf, keusahawanan, teknologi serta AI.
  • Inisiatif sejajar Pelan Strategik FCoEE 2026–2030 untuk pemberdayaan asnaf dan penyelesaian berimpak tinggi.

Kerjasama berkenaan dilaksanakan menerusi konsep DEFFUUZ, melibatkan FCoEE bersama beberapa universiti antarabangsa antaranya Daffodil International University (DIU), Bangladesh; Fatoni University, Thailand; Universitas Ubudiyah; Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU); serta Universitas Deztron Indonesia (UDI), Medan.

Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar menyediakan platform pembelajaran, malah bertujuan melahirkan generasi muda asnaf yang berkemahiran tinggi, berakhlak mulia serta mampu bersaing di peringkat global.

Menurut beliau, kerjasama itu memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama merangkumi pendidikan, kerohanian, penyelidikan, pengurusan asnaf dan wakaf, keusahawanan, teknologi, kecerdasan buatan (AI) serta penerapan teras nilai.

“Kerjasama ini akan memfokuskan kepada bidang-bidang strategik yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan asnaf secara menyeluruh dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menjelaskan, setiap institusi pengajian tinggi yang terlibat mempunyai kepakaran tersendiri yang akan digabungkan bagi memperkasa asnaf merentas negara.

Antaranya, DIU terkenal dalam bidang keusahawanan, Universitas Ubudiyah dalam bidang sains kesihatan, manakala Fatoni University pula mempunyai kepakaran dalam pengurusan zakat, asnaf dan wakaf.

Usaha tersebut selari dengan Pelan Strategik FCoEE 2026 hingga 2030 yang dirangka bagi memperkukuh kecemerlangan pendidikan serta pemberdayaan asnaf, khususnya di negeri Perlis.

FCoEE menegaskan jaringan ilmu dan penyelidikan yang dibangunkan bukan sahaja memperkayakan khazanah akademik, malah mampu melahirkan penyelesaian berimpak tinggi terhadap cabaran global, khususnya dalam menangani isu berkaitan asnaf dan pembangunan insan.