KUALA LUMPUR, 25 Mac - Kerajaan akan mewajibkan pemasangan peranti defibrilator luaran automatik (AED) bagi membantu mangsa terkena serangan jantung di semua pejabat dan fasiliti awam menjelang 2025.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kewajipan pemasangan itu sudah diluluskan Jemaah Menteri melalui Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Katanya, perkara itu akan dibawa kepada Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) bagi tujuan formaliti dan membolehkan undang-undang kerajaan tempatan dapat dipinda supaya pembinaan premis swasta yang baharu juga perlu memasang AED.
"Fasa pertama bagi 2022 hingga 2024, penyediaan AED di fasiliti awam dan swasta adalah secara sukarela oleh pemilik premis.
"Mulai 2025, semua fasiliti awam diwajibkan memasang AED berikutan serangan jantung adalah pembunuh utama,"katanya pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Nasional Persatuan Bulan Sabit Merah,di sini.
Khairy turut mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi pemasangan 100 AED di semua 16 negeri dan wilayah, selain RM5 juta bagi pelaksanaan Projek Ambulans Hotspots yang diperluaskan di 15 lokasi lagi di seluruh negara menjelang 1 April ini.
Sementara itu, Khairy berkata, penerima vaksin Sinovac dan golongan warga emas yang tidak mengambil dos penggalak menjelang 1 April tidak layak menikmati kemudahan seperti mereka yang mendapat vaksinasi lengkap.
"Mereka tidak dapat menikmati kelonggaran vaksinasi penuh termasuk tidak dapat ke luar negara," katanya.