KANGAR, 22 Mac- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis mencatat nilai jualan sebanyak RM1.4 juta menerusi Bazar Ramadan Tani yang berlangsung di Pasar Tani Kekal Simpang Empat dan Dataran ABC MAIPs di sini.
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan optimis nilai jualan itu akan mencapai sasaran RM1.5 juta menjelang akhir Ramadan berdasarkan prestasi semasa.
"Kita sudah mencapai RM1.4 juta dengan baki seminggu lagi sebelum Ramadan berakhir, termasuk RM900,000 di Pasar Tani Kekal Simpang Empat," katanya kepada media pada Program Sentuhan Kasih Ramadan@Bazar Ramadan Tani di Dataran ABC MAIPs di sini hari ini.
Pada majlis itu, FAMA Perlis turut menyampaikan Kit Sentuhan Kasih mengandungi barangan keperluan kepada 30 asnaf yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar Affendi Rajini Kanth bersama Mohd Anzara.