KANGAR, 13 November- Bagi menarik minat petani untuk menceburi projek tanaman kopi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis menganjurkan program Sesi Libat Urus Penanaman dan Pemasaran Kopi bersama usahawan di negeri itu.
Program melibatkan tiga sesi di lokasi berbeza iaitu Dewan Kampung Wang Kelian, Dewan Kampung Titi Tinggi Hilir dan Bilik Mesyuarat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar.
Menurut Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan, penganjuran sesi libat urus tersebut menarik minat hampir 90 orang peserta dalam kalangan petani, pengusaha kedai kopi dan wakil-wakil persatuan serta penduduk kampung yang memiliki tanah terbiar yang boleh diusahakan.
“Usaha digerakkan ini adalah langkah awal FAMA untuk membina industri baru di Perlis bagi mengambil peluang dengan pembukaan lebih 100 kedai dan kafe berasaskan minuman kopi di Perlis yang sekali gus dapat meningkatkan lagi pendapatan penduduk," katanya.
“Selain itu pendekatan ini juga bagi mempelbagaikan produk pertanian di Perlis serta memberi nilai tambah untuk pasaran dalam negara sehingga antarabangsa dengan produk berasaskan kopi.”
Beliau memaklumkannya pada Program Sesi Libat Urus Penanaman dan Pemasaran Kopi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang turut mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Anak JATI Perlis (JATI) yang berminat dalam peluang disediakan khususnya kepada anak muda di Parlimen Kangar.
FAMA akan bertindak sebagai pemasar kepada produk kopi yang bakal dihasilkan usahawan terlibat, manakala dari segi penanaman kopi akan melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan usahawan yang telah berjaya dalam penanaman kopi.