FAMA Kelantan anjur Bazar Ramadan Aidilfitri di RTC Tunjong

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri (tengah) ketika merasmikan Majlis Perasmian Karnival Jualan Agro Madani FAMA Negeri Kelantan 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, malam tadi/foto RTM

KOTA BHARU, 24 Januari – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kelantan akan menganjurkan Bazar Ramadan Aidilfitri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan sebagai platform menyokong usahawan tempatan serta menyediakan keperluan pengguna sepanjang bulan puasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAMA Kelantan menganjurkan Bazar Ramadan Aidilfitri di RTC Tunjong untuk menyokong usahawan tempatan dan memenuhi keperluan pengguna sepanjang Ramadan.
  • Bazar beroperasi 3 petang hingga 1 pagi, menampilkan 40–50 peserta termasuk usahawan FAMA, Pasar Tani dan IMAT dengan bayaran deposit boleh dipulangkan.
  • Kemudahan disediakan termasuk tempat berbuka selesa dan tempat letak kereta luas untuk memudahkan pengunjung serta memeriahkan sokongan kepada usahawan.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, bazar tersebut akan beroperasi sepanjang bulan Ramadan dari pukul 3.00 petang hingga 1.00 pagi, melibatkan penyertaan usahawan tempatan termasuk usahawan FAMA, Pasar Tani serta Industri Makanan Asas Tani (IMAT).

Menurut beliau, penganjuran bazar itu bertujuan memberi peluang kepada usahawan tempatan menjalankan perniagaan dengan kos tapak yang rendah, di samping menyediakan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa, barangan segar Jualan Agro MADANI serta keperluan menjelang Aidilfitri kepada pengunjung.

Selain itu, kemudahan tempat berbuka puasa yang selesa turut disediakan bagi memastikan pengunjung dapat berbuka bersama keluarga dalam suasana yang teratur, selamat dan kondusif.

Abdul Rashid berkata, penganjuran bazar pada tahun ini berbeza apabila ia diadakan di lokasi milik FAMA sendiri, dengan sasaran penyertaan antara 40 hingga 50 usahawan tempatan.

“Sebelum ini, FAMA melaksanakan bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV pada tahun lalu. Tahun ini, kita adakan bazar di lokasi kita sendiri dengan sasaran 40 hingga 50 usahawan. Setakat ini, seramai 30 usahawan telah menyertai bazar ini.

“Untuk kali pertama, FAMA hanya mengenakan bayaran deposit yang akan dipulangkan selepas program tamat. Selain itu, kemudahan tempat letak kereta yang luas juga disediakan dan kita yakin bazar ini akan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Kelantan agar terus menyokong inisiatif tersebut dengan memeriahkan Bazar Ramadan RTC Kelantan, sekali gus membantu memperkasa usahawan tempatan serta memperkukuh ekosistem pemasaran agromakanan negeri.