fb fb fb fb fb

Fakulti AI pertama Malaysia bakal dirasmikan pada Jumaat

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR, 6 Mei- Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) yang pertama bakal dirasmikan Jumaat ini, berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pelancaran fakulti tersebut akan menjadi penanda aras kepada tahap kesediaan Malaysia ke arah pembangunan teknologi tersebut.

Majlis itu juga turut menghimpunkan pemain-pemain industri AI yang akan berkongsi kepakaran dan mempamerkan teknologi masing-masing.

"Dalam program itu nanti kita akan menyaksikan tahap persiapan negara kita dalam menghadapi perubahan teknologi AI yang sudah pun berada di hadapan kita. Rakyat akan melihat hala tuju Malaysia selepas ini. Ia akan dihadiri pelbagai pihak, universiti, pemain indsutri utama yang mempunyai kaitan dengan bidang AI.

"Kita tidak boleh lari daripada bidang ini tetapi tidak bermakna kita akan nafikan bidang-bidang lain di universiti. Paling mustahak bagaimana kita dapat berada bersama-sama dalam gelombang AI," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Naratif Khas "Fakulti AI Pertama Negara, KPT Selangkah Ke Hadapan" di Angkasapuri Kota Media di ibu negara.

Pada peringkat permulaan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama akan dimulakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dalam pada itu penubuhan fakulti AI pertama dijangka bakal mengubah landskap pendidikan di peringkat universiti.

Menurut Zambry, fakulti berkenaan tidak lagi berkonsepkan pendidikan dengan pendekatan lama yang bersifat teori semata-mata sebaliknya menekankan aspek praktikal, kepakaran dan menepati keperluan industri.

"Kohort pertama kita jangkakan untuk satu fakulti lebih kurang 200 pelajar, tetapi ia akan terus berkembang. Mungkin selepas ini akan ada dalam kalangan universiti lain akan turut sama mempunyai fakulti-fakulti mereka.

"Saya difahamkan ada IPTS yang telah memulakan program mereka dan kita jangkakan lebih banyak lagi daripada universiti lain akan melahirkan graduan dalam bidang AI," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI