
PUTRAJAYA, 12 Februari- Kementerian Komunikasi menekankan usaha memperkukuh daya saing industri kreatif tempatan tahun ini dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan kapasiti penggiat industri.
- Memperkukuh daya saing industri kreatif tempatan melalui pembangunan bakat dan kapasiti penggiat.
- Fokus melahirkan lebih banyak penerbit dan pihak yang bantu penembusan pasaran antarabangsa.
- Kerjasama agensi seperti MyCreative Ventures dan FINAS tingkatkan penerbitan, pemasaran dan pembangunan perniagaan.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu bertujuan memastikan industri kreatif negara terus berkembang dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Fokus kementerian tahun ini adalah melahirkan lebih ramai penerbit dan pihak yang dapat membantu industri kreatif tempatan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah kejayaan beberapa produk kreatif Malaysia yang mula mendapat tempat di luar negara membuktikan industri tersebut mempunyai daya saing tinggi jika diberi sokongan berterusan.
Usaha pembangunan industri kreatif itu akan digerakkan melalui kerjasama beberapa agensi termasuk MyCreative Ventures dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi meningkatkan keupayaan penerbitan, pemasaran dan pembangunan perniagaan penggiat tempatan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.