fb fb fb fb fb

Fahmi tegur Meta gagal tangani isu pedofilia di media sosial

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan bersama Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara Rafael Frankel dan pasukan Meta semalam/Foto Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Kerajaan tekad memastikan platform media sosial mengambil tindakan tegas dalam menangani jenayah dalam talian, demi menjamin keselamatan internet untuk semua, terutamanya kanak-kanak dan keluarga.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihak Meta telah ditegur atas kegagalan mereka dalam menangani isu pedofilia dan pengantunan (sexual grooming) kanak-kanak di platform Facebook.

"Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pertemuan bersama Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara Rafael Frankel dan pasukan Meta semalam, mereka turut membincangkan kesiapsiagaan semua pihak bagi penguatkuasaan pelesenan platform media sosial dan sistem pemesejan Internet bermula 1 Januari tahun hadapan.

"Saya telah mengingatkan Meta bahawa niat kerajaan mengenakan lesen ini adalah untuk menangani isu jenayah yang berhijrah ke media sosial, termasuk scam, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

"Namun saya beri komitmen untuk mendengar pandangan semua platform media sosial, memandangkan lesen yang bakal dikenakan adalah lesen kelas (Class License).

"Lesen ini dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat-syarat, termasuk yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia," tambahnya.

Pertemuan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Katanya, pihak Meta juga bersetuju untuk menyediakan maklum balas kepada draf Kod Tatalaku yang telah diterbitkan pada 22 Oktober lalu.

"...dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MCMC pada awal minggu hadapan untuk meneliti beberapa aspek dengan lebih terperinci," katanya yang menyambut baik kesediaan pihak META bekerjasama dalam isu pelesenan ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN