KOTA KINABALU, 29 Oktober- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini meluangkan masa menyantuni bekas Ketua Bahagian Editorial New Straits Times (NST) Sabah dan Sarawak Joseph Bingkasan yang bertarung dengan kanser tulang di kediamannya di Kampung Kionsom, Inanam, dekat sini.
Dalam kunjungan itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Joseph, yang merupakan penerima ke-24 tabung tersebut, bagi membantu meringankan beban beliau.
Bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu, Fahmi berkata Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
“Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sejak 14 April 2023 sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.
“Program ini akan terus dilaksana kepada golongan wartawan yang memerlukan…Perdana Menteri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan program ini,” katanya.
Fahmi berkata beliau akan berbincang dengan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam Datuk Peto Galim untuk terus membantu Joseph.
Sementara itu, Joseph berterima kasih kerana dipilih untuk menerima bantuan daripada program berkenaan, malah terharu kerana Fahmi sendiri datang ke rumahnya untuk bertemu walaupun keadaan jalan yang teruk menuju ke rumahnya.
“Saya juga berharap kehadiran menteri dan ADUN Inanam dapat mempercepatkan untuk menaik taraf jalan masuk ke sini…jalan yang teruk memberikan kesukaran kepada kami. Minggu lepas, bapa saya sakit dan ambulans tidak dapat masuk kerana jalan tidak baik,” katanya.
Joseph, 68, yang disahkan menghidap penyakit kanser itu sejak 2014 turut berdepan dengan masalah kegagalan buah pinggang dan darah tinggi.
Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia kewartawanan, menyertai Kinabalu Sabah Times sebagai penyunting pada 1977 sebelum menyertai New Straits Times Press (NSTP) sebagai koresponden di Sabah, dan beliau kemudian dipindahkan ke Times of Malaysia London Ltd iaitu Pejabat NST di London.
Sekembalinya dari London, Joseph dilantik sebagai Ketua Bahagian Editorial NST Sabah dan Sarawak yang berpusat di Kuching, Sarawak sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat NST di Kuala Lumpur pada 2004.- BERNAMA