Fahmi hargai kepimpinan Suhaimi, berjaya transformasi Jabatan Penyiaran

Facebook Suhaimi Sulaiman

PUTRAJAYA, 12 Februari- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman sepanjang hampir tiga tahun beliau menerajui Jabatan Penyiaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hargai kepimpinan Suhaimi sepanjang hampir tiga tahun menerajui Jabatan Penyiaran.
  • Berjaya transformasi budaya kerja jabatan agar responsif terhadap teknologi, AI dan media sosial.
  • Baharu: pengukuhan unit Media Digital dan Interaktif dipimpin tenaga muda serta kehadiran RTM di TikTok.
  • Pembaharuan format berita termasuk rangkuman malam dan pembahagian siaran perdana Melayu-Inggeris.

Penghargaan itu disampaikan menjelang tamat tempoh perkhidmatan Datuk Suhaimi pada 22 Februari ini.

“Saya amat bangga dengan hasil kerja dan kreativiti yang telah beliau bawa kepada organisasi serta beberapa pencapaian yang bagi saya tidak boleh kita lupakan,” kata Datuk Fahmi.

Menurutnya, Datuk Suhaimi turut berjaya mengubah pendekatan dan budaya kerja Jabatan Penyiaran agar lebih responsif terhadap perubahan teknologi serta corak penggunaan media semasa.

“Beliau sedikit sebanyak berjaya mengalihkan cara pemikiran jabatan kepada perubahan yang sedang berlaku sekarang dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), media sosial dan pelbagai cabaran yang dihadapi,” katanya.

Antara pembaharuan dilaksanakan termasuk pengukuhan unit Media Digital dan Interaktif (MDI) yang diterajui tenaga muda dan peluasan kehadiran jenama Radio Televisyen Malaysia (RTM) di platform media sosial seperti TikTok.

Tambah Datuk Fahmi, penambahbaikan format berita turut dilaksanakan termasuk pengenalan rangkuman berita bermula 7.44 malam dan pembahagian siaran waktu perdana kepada segmen Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi memperluas capaian maklumat kepada penonton.

Katanya lagi, Datuk Suhaimi merancang kembali ke bidang perniagaan di Melaka, manakala proses pelantikan Ketua Pengarah Penyiaran baharu akan dimulakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi.