fb fb fb fb fb

Fahmi bentang lima bukti Malaysia kini di kedudukan lebih baik

KUALA LUMPUR, 19 Julai- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil membentangkan lima bukti yang menunjukkan Malaysia kini di kedudukan yang lebih baik berbanding dulu.

Menerusi facebook, beliau berkongsi Kad Laporan 7 Bulan Kerajaan Perpaduan (Siri 2) dalam bentuk grafik yang memaparkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang lebih baik pada suku pertama tahun ini iaitu 5.6 peratus berbanding tempoh sama bagi tahun lepas iaitu 4.8 peratus.

Jumlah pelaburan ke Malaysia pula meningkat kepada RM71.4 bilion bagi suku pertama tahun ini berbanding RM44.7 bilion bagi suku pertama tahun lalu.


(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil)

"Kadar inflasi negara semakin rendah iaitu 3.9 peratus bagi suku pertama dan 3.6 peratus bagi suku kedua tahun ini berbanding 3.7 peratus dan 4.2 peratus, masing-masing bagi suku ketiga dan suku keempat pada 2022", katanya dalam hantaran facebook.

Selain itu, Malaysia kini di kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Kebebasan Akhbar yang naik sebanyak 40 tangga, iaitu berada pada tangga ke-73 pada tahun ini berbanding tangga 112 pada tahun 2022.

Sementara itu, kedudukan Daya Saing Dunia naik lima anak tangga kepada ke-27 tahun ini berbanding ke-32 pada tahun lepas.

"Terbukti dalam tempoh hanya tujuh bulan, Kerajaan Perpaduan telah mentadbir negara ini ke arah yang lebih baik. Insya-Allah, lima pencapaian ini akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi baharu pada masa depan," katanya.

Media Baharu