KUALA LUMPUR, 15 Mac- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini memulakan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) pergi dan balik dari Stesen Segamat sekali gus meluaskan lagi jaringan rel negara.
Perjalanan sulung tren berkenaan ke Padang Besar berlepas pada pukul 7.55 pagi tadi, manakala tren dari Butterworth dijadualkan tiba di Segamat pada pukul 2.57 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan memberi pilihan perjalanan lebih moden dan lestari serta membuka ruang untuk merancakkan ekonomi Segamat.
Dalam pada itu KTMB turut menawarkan diskaun RM10 bagi perjalanan tertentu serta aktiviti menarik di Stesen Segamat, termasuk jualan eksklusif Rail Boutique dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Orang ramai digalakkan menggunakan ETS dengan membeli tiket lebih awal menerusi aplikasi KITS atau laman web rasmi KTMB.