KUALA LUMPUR, 29 Mei - Perkhidmatan tren elektrik (ETS) akan beroperasi melalui jadual perjalanan baharu untuk semua laluan dengan masih mengekalkan 32 perkhidmatan sehari, mulai 1 Ogos ini.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan laluan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral dan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral adalah 10 trip sehari, laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral lapan trip sehari, manakala laluan Gemas-Butterworth-Gemas dan Gemas-Padang Besar-Gemas, dua trip sehari.
"Rasionalisasi penjadualan semula ini adalah dengan mengambil kira pelaksanaan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT) Fasa 1 sektor Rawang-KL Sentral yang telah siap.
"Selain itu, kesambungan perkhidmatan ETS dengan perkhidmatan tren lain seperti Komuter Utara, Ekspres Selatan dan Ekspres Rakyat Timuran di stesen-stesen utama juga antara faktor yang turut menyumbang kepada penjadualan baharu ini," menurut kenyataan itu.
Melalui penjadualan semula tersebut, KTMB akan memperkenalkan enam perkhidmatan ETS Ekspres daripada 32 perkhidmatan sedia ada bagi sektor KL Sentral-Ipoh-KL Sentral, KL Sentral-Butterworth-KL Sentral dan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral.
"Tren-tren ekspres ini hanya berhenti di stesen-stesen utama dan mengambil masa perjalanan dua jam untuk sektor KL Sentral-Ipoh, tiga jam 30 minit sektor KL Sentral-Butterworth dan empat jam 50 minit KL Sentral-Padang Besar.
"Melalui penjadualan semula dan pengenalan enam perkhidmatan tren ETS ekspres ini, ia dapat memberi penjimatan masa perjalanan kepada penumpang ke destinasi sama ada untuk melancong, bercuti atau pulang ke kampung halaman, selain menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam berteraskan pengangkutan rel dengan selesa dan selamat," menurut KTMB.
Kenyataan itu menyebut jualan tiket tren ETS dan KTM Intercity bagi Ogos sehingga November 2024 akan mula dijual pada 12.00 tengah hari esok.
KTMB menasihatkan pengguna untuk mengambil peluang merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket dengan lebih awal khususnya ketika cuti umum serta cuti penggal persekolahan.
Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan tiket secara dalam talian melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas, kata kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.